Semalam 24 Februari 2026,saya menulis tentang laluan Wang Kelian. Hari ini 25 February pula akhbar melaporkan bahawa Jalan Kaki Bukit–Wang Kelian akan dibuka Ahad ini.
Alhamdulillah, jika benar dibuka, itu satu perkembangan yang baik. Laluan ini bukan sekadar jalan biasa. Ia nadi ekonomi kecil, penghubung keluarga, dan denyut kehidupan masyarakat sempadan Perlis–Satun.
Artikel Semalam 24 Februry 2026 👉 KLIK
Namun dalam kegembiraan itu, ada satu persoalan penting yang tidak boleh kita abaikan.
Dibuka — tetapi bagaimana bentuk pembukaannya?
Adakah dibuka sepenuhnya?
Adakah hanya untuk pejalan kaki?
Adakah terhad kepada penduduk tempatan?
Adakah waktu operasi masih terhad?
Bagaimana pula dengan prosedur imigresen dan kastam?
Perkataan “dibuka” jika tidak diperincikan boleh membawa pelbagai tafsiran. Rakyat yang membaca tajuk mungkin akan membuat andaian sendiri. Bila sampai di pintu sempadan dan realiti tidak seperti yang difahami, akhirnya rakyat juga yang menanggung kerugian masa, minyak, dan emosi.
Kita tidak marah jika pembukaan dibuat secara berperingkat. Itu hak dan tanggungjawab pihak berkuasa demi keselamatan. Kita juga faham bahawa kerja-kerja pembaikan masih berjalan dan faktor keselamatan perlu diutamakan.
Tetapi yang rakyat perlukan ialah kejelasan rasmi dan konsisten.
Dalam isu sempadan, maklumat mesti jelas — bukan sekadar tajuk ringkas yang membuka ruang spekulasi. Kerana di kawasan sempadan, satu kekeliruan kecil boleh bertukar menjadi isu besar.
Saya percaya pihak berkuasa ada perancangan yang tersusun. Cuma, komunikasi kepada rakyat perlu lebih terperinci. Nyatakan dengan jelas:
• Siapa yang dibenarkan melintas
• Jenis kenderaan yang dibenarkan
• Waktu operasi
• Syarat dan dokumen yang diperlukan
Biar semua orang faham perkara yang sama. Biar tidak wujud cerita “orang itu boleh lepas, orang ini tidak boleh”.
Sebagai rakyat yang sering ke sempadan, kita tidak meminta layanan istimewa. Kita hanya mahukan maklumat yang telus supaya keputusan yang kita buat tidak bersandar kepada andaian.
Membuka jalan itu penting.
Tetapi membuka maklumat dengan jelas itu lebih penting.
Semoga pembukaan ini benar-benar membawa manfaat kepada rakyat dan bukan sekadar tajuk yang mengundang salah faham.
— Cikgu Joe Satun
Jom Melawat Satun Bersama Cikgu Joe Satun 👉KLIK

Comments
Post a Comment